
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Kerajaan berharap Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri dapat diluluskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.
- Kerajaan berharap RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 diluluskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.
- RUU melibatkan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri.
- Pindaan memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen untuk kelulusan.
- Kerajaan komited memperincikan dan menyempurnakan proses perundangan dalam sesi ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kedua-dua RUU berkenaan memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.
“Sebagaimana kita sedia maklum, ini merupakan pindaan Perlembagaan dan ia memerlukan kelulusan dua pertiga daripada Ahli-ahli Parlimen.
“Diharapkan kita dapat memperincikan dan akhirnya dapat dibentangkan serta diluluskan pada sesi ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sesi taklimat mengenai RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, dua RUU berkenaan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Datuk Seri Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penyediaan kerangka undang-undang tersebut termasuk pegawai dan pemegang taruh berkaitan.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan proses perundangan itu dapat disempurnakan dalam sesi Dewan Rakyat kali ini.