fb fb fb fb fb

Pindaan PDPA 2010 melibatkan tujuh garis panduan baharu

Menteri Digital, Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010, akan dibentang pada sesi persidangan Parlimen akan datang.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata pindaan itu melibatkan tujuh garis panduan baharu berkaitan perlindungan data peribadi, selaras keperluan semasa pada era digital dan teknologi.

Beliau menyifatkan terdapat keperluan melaksanakan pindaan tersebut bagi memastikan privasi dan aspek keselamatan siber terjamin sekali gus, melindungi rakyat daripada risiko kecurian data.

"Tujuh perkara kita ingin bangkitkan, satu daripadanya berkaitan notifikasi, apabila berlaku insiden dimana kita percaya ada percubaan 'pelanggaran', perlu untuk syarikat-syarikat memberikan notis kepada pesuruhjaya untuk kita maklumkan kepada pihak tuan punya data dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian Peranti StarSentry Cybersecurity Solution di ibu negara.

Tambah Gobind, perincian lanjut mengenai pindaan tersebut akan dimaklumkan selewat-lewatnya minggu hadapan.

Dalam pada itu, Gobind turut memaklumkan satu akta baharu khusus berkaitan perkongsian data akan diwujudkan bagi melindungi keselamatan data digital pengguna.

Jelasnya, akta khusus itu perlu, susulan peningkatan bilangan laporan berhubung ketirisan dan kebocoran data yang diterima oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi.

"Dalam hujung tahun ini, bagaimana kita boleh melihat dan membentangkan satu akta yang membolehkan data itu dikongsi. Jadi ditetapkan syarat yang perlu diikuti dan sebagainya, itu dalam perancangan, saya telah lihat bill itu memang ada.

"Saya dimaklumkan oleh pejabat Perlindungan Data Peribadi, terdapat peningkatan dalam aduan bagi suku pertama tahun ini kebocoran atau ketirisan data. Dalam suku akhir tahun lepas, kita ada 157 laporan dibuat, manakala suku pertama tahun ini, 163. Ini ada peningkatan," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN