fb fb fb fb fb

Pindaan akta wujudkan kesatuan sekerja matang, progresif

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja 2022 bertujuan mewujudkan kerangka perundangan bagi menyokong penubuhan dan pentadbiran kesatuan sekerja secara matang, progresif dan relevan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pindaan dengan objektif meniadakan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja berdasarkan penubuhan tertentu atau persamaan dalam tred, pekerjaan atau industri bagi membenarkan kepelbagaian kesatuan sekerja.

Ia dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

"Perkara ini selaras dengan kebebasan berpersatuan memandangkan pekerja dan majikan adalah bebas untuk menubuhkan atau menyertai mana-mana kesatuan sekerja pilihan mereka sendiri," katanya ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan. 

(Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia)

Sidang dewan diberitahu, Akta Kesatuan Sekerja 1959 selepas ini disebut sebagai Akta 262.

Diperjelaskan pindaan yang dicadangkan ini juga bakal menggalakan penubuhan dan keanggotaan kesatuan sekerja serta dijangka meningkatkan liputan perjanjian kolektif dalam kalangan pekerja sektor swasta.

Pindaan akta ini juga melibatkan 35 fasal merangkumi 29 fasal pindaan, lima fasal baharu dan satu fasal yang dimansuhkan.

Sidang dewan turut diberitahu, pindaan fasal tujuh bertujuan meminda subseksyen 15(1) bagi mengehadkan kuasa budi bicara ketua pengarah dalam hal pembatalan pendaftaran sesuatu kesatuan sekerja.

"Pindaan kepada subseksyen 15(1) ini akan menyebabkan pembatalan kesatuan sekerja hanya boleh dibuat sekiranya kesatuan sekerja tersebut terlibat dalam pelanggaran peruntukan undang-undang yang telah dinyatakan secara spesifik dalam Akta 262 termasuklah melibatkan pelanggaran undang-undang serius yang mengancam keselamatan negara seperti yang dinyatakan dalam jadual baharu keempat.

ini adalah bertujuan untuk melindungi hak pekerja dalam berkesatuan," ujarnya lagi.

Beliau turut mengakui pindaan berkenaan bagi memastikan undang-undang buruh ditambah baik dengan mengambil kira prinsip-prinsip standard perburuhan antarabangsa dan instrumen sejagat.

Sekaligus berupaya meningkatkan perlindungan dan kebajikan serta produktiviti golongan pekerja dan majikan.

Media Baharu