fb fb fb fb fb

Pindaan Akta Pembangunan Mineral 1994 sedang diteliti - Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad

IPOH, 30 April- Keperluan meminda Akta Pembangunan Mineral 1994 sedang diteliti kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Penelitian pindaan itu bagi memastikan akta berkenaan memenuhi keperluan semasa termasuk berkaitan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

"Kalau kita lihat Akta Pembangunan Mineral 1994 perlu kita perbaiki untuk apa yang kita ingin laksanakan bagi memastikan kita tidak hanya eksport bijih mentah tetapi ada pemprosesan bijih-bijih ini dalam negara.

"Perlu ada beberapa pelarasan tetapi kita percaya boleh dibuat dalam kerangka perlembagaan yang ada. Jadi itu sedang diteliti," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Kebangsaan 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah yang telah dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini.

Sebelum ini, NRES telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi membincangkan mengenai pembangunan kerangka model perniagaan NR-REE negara.

Perbincangan itu termasuk cadangan penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka dan mengawal selia industri berkenaan.

Dalam perkembangan sama, pihak kementerian turut menggesa Kerajaan Negeri menyegerakan pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri masing-masing.

Setakat ini, hanya Perlis dan Selangor mengguna pakai akta tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI