KUALA LUMPUR, 21 Disember- Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bakal menyediakan ekosistem internet yang lebih selamat dan lestari bagi semua pengguna.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa pindaan tersebut tidak akan menyekat kebebasan bersuara tetapi bertujuan menangani peningkatan jenayah siber.
"Untuk melawan empat hingga lima kategori jenayah, kita memerlukan lebih kerjasama daripada syarikat penyedia platform media sosial dan beberapa hukuman perlu ditingkatkan," katanya semasa satu sesi audio siar (podcast) bertajuk Rangkuman Isu Nasional 2024 Bersama Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil oleh sebuah stesen televisyen swasta hari ini.
Beliau turut menambah bahawa pindaan itu bertujuan mencapai keseimbangan antara hak bersuara dan hak untuk merasa selamat ketika menggunakan internet.
Rang Undang-Undang Pindaan Akta 588 itu telah diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini sebagai langkah menangani pelanggaran undang-undang di platform media sosial.
Pindaan akta berkenaan merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk memastikan keselamatan siber dan kepercayaan rakyat terhadap ekosistem digital di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut menyatakan bahawa hubungan erat dalam Kerajaan Perpaduan terus kukuh dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang membina persefahaman politik.
"Perdana Menteri seorang consensus builder (pembina persefahaman politik), malah sejak dahulu lagi beliau dikenali sebagai jambatan persefahaman politik," ujarnya dalam podcast sama.