KUALA LUMPUR, 21 Jun – Orang ramai digesa menggunakan barangan elektrik cekap tenaga bertaraf lima bintang kerana mampu memberikan penjimatan besar dalam jangka panjang.
Menurut penganalisis ekonomi, Dr Ida Md Yasin, barangan elektrik biasa mungkin lebih murah, namun penggunaan jangka panjang akan menyebabkan bil meningkat.
“Kadang-kadang barang elektrik tidak cekap tenaga nampak lebih murah, tapi dalam jangka panjang, peralatan cekap tenaga seperti yang bertaraf lima bintang sebenarnya lebih jimat. Itu antara kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk penjimatan tenaga,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Beliau turut menyifatkan Insentif Cekap Tenaga yang akan diperkenalkan kerajaan tidak lama lagi sebagai langkah bijak berbanding pemberian subsidi secara menyeluruh.
“Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan subsidi hanya disalurkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan kerana pada masa sama, kerajaan sedang berusaha mengurangkan perbelanjaan agar dana itu boleh digunakan untuk insentif yang lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan insentif yang menyasarkan pengguna elektrik bawah 1,000 kilowatt-jam (kWj) sebulan mampu membentuk budaya penjimatan dalam kalangan isi rumah.
Tambahnya lagi, selain mendorong perubahan gaya hidup ke arah lebih lestari, langkah itu turut memberi kesan positif terhadap pengurusan subsidi negara yang lebih efisien dan bersasar.
Semalam, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan, Insentif Cekap Tenaga akan diperkenalkan untuk menggalakkan 23.6 juta pengguna domestik berjimat dalam penggunaan elektrik.
Ini bermakna, pengguna yang berada dalam kategori penggunaan 1,000 kWj ke bawah tidak akan terkesan dengan pelaksanaan tarif elektrik baharu.
Turut menerima manfaat ialah pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah sebulan.
Insentif ini dijangka menggalakkan lebih ramai pengguna mengubah corak penggunaan elektrik serta menyokong matlamat jangka panjang negara untuk mencapai keseimbangan antara kesejahteraan rakyat dan kelestarian tenaga.