fb fb fb fb fb

Pihak swasta digalak sertai inisiatif haiwan angkat

FOTO FAIL

JOHOR BAHRU, 31 Ogos - Kerajaan Johor mengalu-alukan pihak swasta menyertai inisiatif haiwan angkat, menaja makanan haiwan di Zoo Johor bagi meringankan kos pengoperasian di zoo termurah dalam negara itu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya kini sedang mengadakan libat urus dengan 10 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat bank berhubung inisiatif itu.

Antara perbelanjaan yang menelan kos tinggi di zoo tersebut ialah makanan gajah melibatkan perbelanjaan RM250,000 setahun.

"Sebenarnya kita sudah ada gerak kerja ke arah itu, insya-Allah sebelum hujung tahun ini, kita akan benarkan beberapa agensi negeri dan persekutuan termask GLC negeri yang sangat berminat untuk jadi keluarga angkat kepada haiwan-hawain dalam ini," kata Mohd Jafni.

Beliau bercakap kepada media ketika melakukan tinjauan pembukaan semula Zoo Johor, di sini.

Zoo tersebut sebelum ini ditutup selama tiga tahun bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf.

Dalam pada itu pembukaan semula Zoo Johor pada hari ini menerima sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran 3,500 pengunjung dari dalam dan luar negara direkodkan dalam tempoh dua jam setengah dan Mohd Jafni menjangkakan bilangan itu akan terus meningkat.

Tinjauan mendapati orang ramai sanggup beratur dalam barisan di sepanjang Jalan Gertak Merah untuk masuk ke Zoo Johor.

Antara tarikan utama di zoo tersebut ialah beruang matahari.

"Jadi sepanjang zoo ini beroperasi selama berpuluh tahun ini, paling tinggi pengunjung adalah 5,000, pada bulan Disember cuti sekolah, tetapi hari ini dua jam setengah sudah mencecah 3,500," katanya.

Pihaknya juga komited menambah baik kemudahan di zoo tersebut seperti tingkatkan bilangan kiosk.

Fasa kedua naik taraf zoo tersebut dijangka akan bermula pada suku pertama tahun hadapan melibatkan penambahan ruang parkir dan binatang-binatang lain seperti burung.

TETITIA YUSOFF