PH Johor mula bincang pembahagian kerusi hadapi kemungkinan PRN

Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Nie Ching/Foto fail

KULAI, 7 Februari – Pakatan Harapan (PH) Johor memulakan rundingan awal pembahagian kerusi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

RINGKASAN BERITA AI
  • PH Johor mulakan rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan sebagai persiapan menghadapi kemungkinan PRN.
  • Rundingan setakat ini hanya melibatkan parti dalam PH sebelum menilai kerjasama dengan pihak luar.
  • PH tidak menolak kemungkinan PRN Johor diadakan tahun ini dan menganggap semua parti sedang membuat persiapan.
  • Rundingan berada pada peringkat awal dan akan menentukan strategi PH menjelang kemungkinan PRN.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Nie Ching berkata rundingan setakat ini hanya melibatkan parti dalam gabungan PH sebelum menilai kemungkinan kerjasama dengan pihak lain.

“Kami tidak menolak kemungkinan PRN Johor diadakan tahun ini. Jadi PH Johor kini berada pada peringkat awal perbincangan pembahagian kerusi. Saya percaya semua parti politik juga sudah mula membuat persediaan untuk menghadapi PRN.”

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Next Gen Luxury Coach di Senai, Kulai, Johor.

Pada PRN Johor sebelum ini, PH memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (BN) 40 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.

Daripada jumlah kerusi dimenangi PH, DAP memperoleh 10 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.