Petugas media RTM terima sumbangan 180 pek iftar di Wisma Berita

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyerahkan sumbangan pek iftar kepada petugas media RTM

KUALA LUMPUR, 10 MAC – Kementerian Komunikasi menzahirkan penghargaan terhadap komitmen jentera media Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi agihan 180 pek sumbangan juadah berbuka puasa di Wisma Berita, Angkasapuri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Timbalan Menteri Teo Nie Ching menyerahkan sumbangan kepada wakil setiap bahagian di bawah Bahagian Berita Ehwal Semasa.
  • Sumbangan simbolik itu mengiktiraf dedikasi petugas media menyampaikan maklumat kepada rakyat tanpa mengira waktu.
  • Tugasan pasukan berita ialah tanggungjawab kritikal yang menuntut kesiapsiagaan sepanjang tahun, termasuk Ramadan dan Hari Raya.
  • Inisiatif juadah berbuka itu sebagai tanda penghargaan dan diharap menyuntik semangat kepada seluruh warga kerja.

Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, kepada wakil setiap bahagian di bawah Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES).

Ia simbolik pengiktirafan kepada petugas media yang kekal berdedikasi menyampaikan maklumat kepada rakyat tanpa mengira waktu.

Beliau menyifatkan tugasan pasukan berita sebagai tanggungjawab kritikal yang menuntut kesiapsiagaan 365 hari setahun, termasuk sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Pasukan berita sentiasa berada dalam mod bersiap sedia untuk memastikan penyaluran berita kepada rakyat tidak terputus.

Inisiatif penyediaan juadah berbuka ini merupakan tanda penghargaan kami kepada mereka yang bertugas secara berterusan, dan diharap dapat menyuntik semangat buat seluruh warga kerja,” jelas beliau semasa majlis ringkas berkenaan.