fb fb fb fb fb

PETRA pandang serius teguran terhadap pengurusan air negara - Fadillah

Fadillah Yusof ketika berucap pada pada Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang hari ini

SERDANG, 4 Julai- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memandang serius teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 berhubung pengurusan air negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PETRA mempunyai pasukan untuk melihat segala laporan termasuk LKAN berhubung kait dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya, Ketua Setiausaha (KSU) PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli akan mengetuai pasukan itu dan mengambil tindakan terhadap setiap teguran berhubung isu air negara.

"Kita memang dah ada pasukan untuk melihat segala laporan dan kita akan mengambil tindakan atas segala teguran.

"KSU sendiri (Mad Zaidi) akan mengetuai untuk pastikan segala teguran audit diambil tindakan dan diharapkan tidak akan berulang untuk masa-masa akan datang," beliau ditemui pada Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 antaranya melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan diaudit berjumlah RM41.97 bilion dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Antara perkara berbangkit yang berkaitan dengan pengurusan air negara adalah 145 daripada 712 projek pembangunan infrastruktur air didapati lewat daripada jadual asal antara 86 hingga 1,076 hari, melibatkan kos berjumlah RM6.150 bilion.

Turut dibangkitkan sasaran 13.5 peratus Rizab Margin Air Terawat Kebangsaan tidak dapat dicapai oleh empat negeri sampel yang dilawati pada 2022.

Selain itu, juga ditekankan dalam laporan berkenaan adalah Air Tidak Berhasil (NRW) yang mendapati sasaran 35 peratus pada 2020 dan 32 peratus pada 2023 tidak tercapai.

Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara memberi syor kepada PETRA dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) agar meningkatkan pemantauan terhadap penyiapan projek dan program pembangunan dan naik taraf bagi sumber air, bekalan air terawat dan kualitiair dalam tempoh ditetapkan.

SITI AISHAH MD ISA