KUALA LUMPUR, 18 Mac- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil pendekatan struktur dan bukan struktur bagi mengatasi masalah banjir di Kuala Terengganu.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebanyak lima kolam dirancang untuk diselenggara pada tahun ini dengan anggaran kos sebanyak RM240,000.
Manakala bagi pendekatan bukan struktur, Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Terengganu telah disiapkan pada tahun 2019.
"Sebagai makluman, Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) kali ke-41 pada 17 April 2023 bersetuju dengan keperluan pemakaian dan pelaksanaan PISMA dalam pembangunan tanah kepada semua Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"PISMA dijadikan panduan dan rujukan PBT, pemaju dan lain-lain pihak berkaitan berkaitan untuk menaiktaraf, membina sistem saliran serta merancang pembangunan masa hadapan yang lebih terancang, sistematik dan mapan bagi mengurangkan risiko banjir kilat dan mengawal pencemaran akibat pembangunan.
"JPS juga sedang melaksanakan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Terengganu. 'Output' utama kajian ini adalah peta hazard banjir dan peta risiko banjir bagi Lembangan Sungai Terengganu yang dijangka siap pada tahun 2025,"katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Mohamed dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Sementara itu, Akmal memaklumkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Ibai, Kuala Terengganu sedang dalam pelaksanaan bermula pada 24 Julai 2023.
Projek yang dijangka siap pada 23 November 2025 itu menelan kos kontrak mencecah RM24 juta.