(Uji bakat Bintang RTM Zon Utara)
GEORGE TOWN, 6 Ogos - “Walaupun tidak ramai, tetapi kesemua mereka berkualiti”.
Penolong Pengarah Unit Hiburan TV RTM, Wan Yusoff Wan Abdullah berkata, rata-rata peserta yang hadir ke Uji bakat Bintang RTM Zon Utara menepati kriteria yang ditetapkan.
Malah jelasnya, kesemua juri yang hadir turut berpuas hati dengan bakat yang ditunjukkan peserta.
"Kita dapat lihat kehadiran bakat-bakat baru untuk menyertai Bintang RTM ini, sebab ia merupakan satu jenama yang besar. Jadi yang datang itu saya lihat semuanya berkualiti.
"Walaupun tidak ramai, tetapi semua yang datang boleh menyanyi dan hadir dengan persediaan", katanya semasa Ujibakat Bintang RTM di Hotel Royale Chulan, George Town.
Menurutnya, kelainan yang dibawa pada kali ini adalah siaran secara langsung yang dijalankan menerusi facebook Hiburan TV RTM dan RTM Klik.
Beliau pada masa berharap sambutan yang lebih meriah diterima daripada orang ramai pada uji bakat akan datang sekali gus dapat melihat persaingan yang sihat antara peserta.
Menerusinya, bakat-bakat yang berkualiti dapat dicungkil setanding dengan bakat-bakat Bintang RTM sedia ada.
Seterusnya, uji bakat sama akan dijalankan di Johor bagi Zon Selatan selepas Pulau Pinang menjadi lokasi pertama.
(Uji bakat Bintang RTM Zon Utara)