fb fb fb fb fb

Peserta Program Kembara Jelajah Pautan Kasih santuni Orang Asli dorong kejayaan bersama

Program Kembara Jelajah Pautan Kasih

ROMPIN, 26 Mei - Seramai 112 peserta menyantuni 18 suku kaum Orang Asli melibatkan lapan lokasi di negara ini sempena Program Kembara Jelajah Pautan Kasih 18 Suku Kaum Asli Malaysia.

Pengerusi Kelab, Ir. Ts Mahat Mat Dong berkata, semua peserta yang terlibat dalam program tersebut merupakan masyarakat orang asli Pahang yang telah berjaya dalam pelbagai bidang.

"Antara pengisian program, kami menyerah bakul makanan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal selain mengadakan ceramah motivasi yang mana kami berkongsi kejayaan bersama penduduk kampung contoh saya sebagai jurutera dan ada dalam kalangan peserta adalah doktor, pegawai kerajaan, usahawan.

"Kami berkongsi pengalaman kepada mereka bagaimana untuk mencapai kejayaan melalui ceramah," katanya.

Turut hadir Senator Orang Asli, Datuk Ajis Sitin yang meyantuni beramah mesra serta mengenali dengan lebih dekat budaya dan adat resam 18 suku kaum orang asli di negara ini.

Program julung kali anjuran Kelab 4x4 Orang Asli Pahang ini melibatkan 32 buah kenderaan pacuan empat roda dan perjalanan sepanjang 2,000 kilometer (km).

Program itu berlangsung selama lima hari bermula 22 Mei lalu di Dataran Kuala Lipis diikuti Kampung OA Pasir Linggi, Kelantan; Kampung OA Lubuk Legong, Kedah; Pos Kuala Mu, Sungai Siput di Perak; Kampung OA Sungai Bumbun, Selangor; Kampung OA Peta, Johor dan berakhir hari ini di Kampung OA Deraman, Rompin.

GRACE AISYAH KEDAYAN