fb fb fb fb fb

Peserta eKasih di Terengganu dirai, terima sumbangan

FOTO HIASAN

KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Seramai 200 peserta berdaftar sistem eKasih dalam kategori miskin tegar diraikan menerusi program Kasih Prihatin Negeri Terengganu peringkat daerah Kuala Terengganu hari ini.

Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu Abdul Kahar Abdul Latif berkata, jumlah peserta yang dijemput merupakan sebahagian kecil daripada 66,917 ketua isi rumah (KIR) berdaftar dalam sistem eKasih di negeri ini.
 
Daripada jumlah tersebut, daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah KIR miskin tegar paling ramai iaitu seramai 1,296 isi rumah.
 
"Dengan adanya, komitmen daripada kumpulan miskin ini. Insha-Allah usaha seperti ini akan dapat kita capai dan kita akan dapatkan kurangkan jumlah kemiskinan yang ada di negeri Terengganu. Dan untuk program kasih prihatin yang kita adakan hari ini, ia bukan hanya untuk daerah Kuala Terengganu sahaja.

"Insha-Allah selepas ini kita akan pergi juga ke daerah-daerah lain dalam usaha kita untuk memberi pendedahan kepada semua penduduk di negeri Terengganu, supaya mereka menerima bantuan sewajarnya daripada pihak kerajaan, Insha-Allah," Abdul Kahar bercakap kepada media selepas menyempurnakan program berkenaan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini.             
 
Kesemua peserta, menerima Bakul Kasih sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia-(YaPEIM) dan baucar tunai sumbangan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu.
 
Program yang dirancang dilaksanakan di seluruh daerah ini, merupakan satu inisiatif serta komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan terjamin bagi setiap individu dalam kalangan masyarakat.
 
Kerjasama semua agensi amat penting dalam usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar, khususnya di Terengganu.
 

TETITIA YUSOFF