fb fb fb fb fb

Pesawat AW139 Maritim Malaysia lakukan pendaratan cemas

Foto Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 Mac - Sebuah helikopter jenis Agusta Westland, AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada pukul 9:55 pagi tadi ketika melakukan latihan menyelamat.

Maritim Malaysia memaklumkan, maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada disekitar lokasi kejadian.

Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada pukul 10:15 pagi.

"Pesawat yang mendarat cemas diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam bin Tengku Zakaria, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol bin Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John bin Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat bin Hashim.

"Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot PENGAWAL 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365 N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS). Semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365N3 dan telah diterbangkan ke SUMS," kata Maritim Malaysia menerusi kenyataan.

Maritim Malaysia memaklumkan, sebelum itu bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM BAGAN DATUK juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

Siasatan lanjut akan dilakukan Maritim Malaysia untuk mengenal pasti punca kejadian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN