JUASSEH, 1 Mac- Agihan sumbangan membabitkan peruntukan berjumlah RM15 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas diharapkan benar-benar sampai kepada golongan pesawah tanpa sebarang keciciran.
Perkara itu sekali gus memberi khabar gembira buat semua pesawah di seluruh negara sempena Ramadan dan Aidilfitri.
Tidak terkecuali pesawah di Kampung Terusan Hilir dan Kampung Terusan Seberang di Kuala Pilah turut meluahkan rasa syukur terhadap keprihatinan daripada kerajaan.
Pesawah Nor Haini Mohd Yunus yang ditemui pemberita berkata, bantuan tersebut mengurangkan beban terutama untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
"Untuk menyambut Ramadan ini bagi keluarga kita mengutamakan mana yang penting seperti anak-anak, pakaian dan makanan.
"Kita utamakan untuk kegembiraan anak-anak dalam keluarga dan ibu bapa. Bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban dan perbelanjaan keluarga pesawah," katanya ketika ditemui pemberita.
Bagi Azan Saleh bantuan berkenaan meringankan beban kepada pesawah termasuk yang berdepan masalah.
"Dengan pengumuman itu, saya bersyukur sebab bantuan ini bukan setiap tahun kita dapat. Jadi dengan bantuan yang diberikan ini ia sangat membantu pesawah," katanya.
Sementara itu Norzeti Nordin menyifatkan bantuan berkenaan membantu pesawah sementara menunggu hasil tuaian yang mengambil masa hingga empat bulan.
"Alhamdulillah sebenarnya insentif yang diberikan daripada kerajaan ini banyak membantu pesawah. Masa yang diambil untuk menuai padi paling awal 100 hari.
"Tetapi paling lama untuk menuai padi mengambil masa 115 hari. Jadi untuk menuai hasil padi mungkin mengambil masa hingga empat bulan, tempoh ini agak lama untuk pesawah," katanya.
Di Kedah, para pesawah menyambut baik pengumuman bantuan berkenaan selain membuktikan keprihatinan kerajaan yang memahami denyut nadi golongan itu.
Bantuan berkenaan juga dapat digunakan untuk membeli racun dan bayaran sewa jentera membajak selain mengharapkan ia disalurkan dengan kadar segera.
Pesawah Roslan Ismail berkata bantuan yang diumumkan itu akan digunakan untuk persediaan Ramadan dan Aidilfitri.
"Alhamdulillah Perdana Menteri mengumumkan bantuan kepada petani, ia boleh mengurangkan beban khususnya pada bulan Ramadan dan Syawal nanti.
"Sekiranya ada lebihan, ia akan digunakan untuk fasa baharu bendang yang kita usahakan ini. Jadi tidak boleh dihabiskan begitu sahaja," katanya.
Md Saad Yaacob pula berkata bantuan berkenaan boleh digunakan untuk membeli benih padi selain menampung perbelanjaan pada Ramadan dan Syawal.
"Kami bersetuju dengan pemberian bantuan seperti ini. Ia akan membantu golongan pesawah, setidaknya bantuan tersebut dapat digunakan untuk membajak tanah dan membeli biji benih," katanya.
Bantuan berkenaan memberikan kelegaan kepada semua pesawah khususnya untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
Pada masa sama golongan pesawah berharap agar kerajaan dapat membantu dari aspek pertambahan sewaan jentera, insentif pembelian baja dan kerja-kerja pembaikan di sungai berdekatan kawasan sawah masing-masing.