Pesawah terjejas kemarau di Kuala Kedah terus dibantu

Bantuan kepada petani terjejas disalurkan menerusi Unit ICU JPM dan kerjasama syarikat korporat – Datuk Romli Ishak (foto kecil)

KUALA KEDAH, 11 Mac- Hasil pengeluaran padi di beberapa kawasan di Kedah terutama di sini dilaporkan merosot sehingga 30 peratus berikutan cuaca panas melampau dan kemarau berpanjangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendapatan pesawah terjejas apabila banyak tanaman padi menjadi hampa.
  • Bantuan disalurkan melalui Unit ICU Jabatan Perdana Menteri dan kerjasama syarikat korporat.
  • Bantuan segera termasuk keperluan harian disampaikan kepada kira-kira 300 keluarga pesawah di Kuala Kedah.

Penyelaras Sahabat Penggerak MADANI Parlimen Kuala Kedah, Datuk Romli Ishak berkata keadaan itu menjejaskan pendapatan pesawah apabila terdapat tanaman padi menjadi “hampa” atau kosong.

Beliau berkata bantuan kepada petani terjejas akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kerjasama syarikat korporat.

Bantuan segera termasuk barangan keperluan harian disalurkan kepada kira-kira 300 keluarga pesawah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kemerosotan hasil padi bukan sahaja berlaku di Kuala Kedah, malah turut melibatkan kawasan penanaman padi lain di sekitarnya.

“Isu ini berlaku di kebanyakan kawasan penanaman padi. Kemarau yang agak panjang menyebabkan hasil semakin merosot,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis iftar bersama Akademi Kenegaraan Malaysia dan aktivis Sahabat Penggerak MADANI bagi Parlimen Kuala Kedah di sini, malam tadi.