fb fb fb fb fb

Pesara perlu berhati-hati, taktik penipuan dalam talian

Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 8 Mac- Golongan pesara dinasihati supaya lebih berhati–hati dengan sindiket penipuan dalam talian terutamanya melibatkan penipuan berunsurkan pelaburan kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Trend penipuan itu menjadikan golongan pesara dan warga emas sebagai antara sasaran utama. 

"Orang pencen ini jadi tumpuan, sesiapa pun cari orang pencen sebab dia tahu gratuiti banyak yang boleh dipinjamkan. Kononnya boleh bekerjasama, penipuan RM42 juta bukan sikit-sikit bilangan itu. Ia merupakan jumlah besar dan saya berharap bahawa rakyat Negeri Sembilan harus berwaspada," katanya dalam Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tahun 2023 di sini.

Di negeri itu sebanyak 2,216 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan jumlah kerugian keseluruhan berjumlah RM42 juta.

Ia membabitkan kes seperti pembelian dalam talian, keldai akaun, pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud dan penipuan cinta atau 'love scam'.

Pada majlis berkenaan seramai 114 orang pesara diraikan dengan pecahan 76 kategori bersara wajib, 19 bersara secara pilihan, enam bersara atas faktor kesihatan dan 13 bersara kerana meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI