fb fb fb fb fb

Pesara guru diperdaya sindiket penipuan

Foto hiasan

SEREMBAN, 7 Disember- Seorang pesara guru kerugian hampir RM500,000 apabila diperdaya sindiket penyamaran sebuah syarikat kurier pada 15 November lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa wanita berusia 56 tahun itu menerima panggilan telefon kononya ada bungkusan terlarang atas nama mangsa mengandungi bahan menyalahi undang-undang, iaitu buku cek serta kad pengenalan yang didaftarkan atas nama mangsa.

Mangsa diugut dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa atas kesalahan itu.

Mangsa yang ketakutan terus mengikut segala arahan suspek termasuk dengan menekan pautan diberikan melalui telefon bimbit, selain berkongsi maklumat akaun bank bertujuan menyelesaikan masalah tersebut.

Bagaimanapun, mangsa mendapati berlaku pengeluaran dalam akaun banknya sebanyak RM480,000.

Laporan polis dibuat semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai pihak yang mendakwa dirinya daripada agensi kerajaan atau penguat kuasa yang hanya berurusan melalui panggilan telefon atau secara dalam talian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI