PONTIAN, 15 Disember – Peruntukan sektor pembinaan negara bagi tahun 2025 meningkat kepada RM120 bilion, hasil kerjasama antara Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan anak syarikat.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM32 bilion berbanding RM88 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk meneruskan projek sambungan dan melaksanakan projek baharu seperti pembinaan jalan, lebuh raya, jambatan, dan bangunan, selain pembaikan cerun serta penyelenggaraan infrastruktur sedia ada,” katanya ketika berucap pada Karnival Kemahiran dan Kerjaya Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET)Pembinaan, di sini.
Menurutnya, jumlah peruntukan itu juga berpotensi meningkat kepada RM200 bilion sekiranya kerjasama lebih erat dapat dijalin dengan pihak swasta.
Dalam pada itu, Ahmad turut memaklumkan, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan telah berjaya melatih 70,000 pekerja pembinaan sejak ia mula beroperasi pada tahun 1997.