
KUALA LUMPUR, 28 Januari – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyalurkan peruntukan dan sumbangan penyelenggaraan berjumlah RM3.15 jutabagi manfaat 47 buah sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh Parlimen Bukit Gantang setakat 30 Disember 2025.
- Peruntukan RM3.15 juta disalurkan untuk penyelenggaraan 47 sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di Parlimen Bukit Gantang.
- Inisiatif khas termasuk naik taraf kemudahan kantin dan musala untuk menyokong persekitaran pengajaran dan pembelajaran.
- Projek Kompleks Pendidikan Khas Taiping Fasa I diluluskan dan dijangka siap pada 31 Mei 2029 dengan pemantauan rapi KPM.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata peruntukan tersebut bertujuan memastikan fasiliti serta kemudahan sekolah berada dalam keadaan kondusif bagi menyokong kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Peruntukan itu turut merangkumi pelaksanaan inisiatif khas bagi menaik taraf kemudahan kantin dan musala di sekolah-sekolah terlibat.
“Sehingga 30 Disember 2025, sebanyak RM3.15 juta peruntukan dan sumbangan peryelenggaraan telah disalurkan bagi manfaat 47 buah sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh Parlimen Bukit Gantang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata, bagi tahun 2026, pengagihan awal peruntukan penyelenggaraan akan diselaraskan bermula Januari berdasarkan keutamaan serta permohonan daripada Jabatan Pendidikan Negeri, selain memberi perhatian kepada kes kecemasan dan bencana.
Dalam perkembangan berkaitan, Wong memaklumkan projek pembinaan Kompleks Pendidikan Khas Taiping Fasa I yang mengandungi Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dengan 18 bilik darjah telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12.
Menurut beliau, kontraktor projek berkenaan telah dilantik pada 17 November 2025, kerja awalan bermula 28 November 2025 dan projek dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Mei 2029.
Beliau menegaskan, KPM mempunyai mekanisme pemantauan rapi di peringkat kementerian dan menteri bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut tempoh ditetapkan.