KUALA LUMPUR, 24 Mei- Sebanyak RM10 juta diperuntuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk kerajaan negeri dan agensi-agensi tindak balas yang terlibat dengan pengurusan dan pengoperasian dalam menangani impak Monsun Barat Daya (MBD) sejak 17 Mei lepas.
Melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN), NADMA akan menyelaras penyaluran peruntukan berdasarkan permohonan dan keperluan operasi bencana tersebut.
Menerusi kenyataan NADMA, jabatan-jabatan terlibat telah melakukan beberapa persediaan sebagai langkah kesiapsiagaan mengurangkan risiko dalam menghadapi MBD.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) siap sedia dengan persiapan logistik dan 23,566 anggota untuk digerakkan bagi menghadapi kebakaran terbuka.
Manakala, Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan operasi pemantauan dan berada di lokasi-lokasi 'hotspot' bencana serta bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan.
Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membuat rondaan darat dan udara menggunakan dron dengan kerjasama RELA dan APM serta mengaktifkan infrastruktur pencegahan kebakaran tanah gambut.
Operasi Pembenihan Awan turut dilakukan mengikut keperluan setelah mendapat nasihat teknikal dari MetMalaysia serta ketersediaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia pada tarikh dicadangkan.
Pada masa sama, kesedaran terhadap impak cuaca panas dalam kalangan orang awam juga penting.
Justeru, orang awam dinasihatkan supaya lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko strok haba.