BUKIT JALIL, 5 April- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan RM10 juta bagi pembinaan tiga Baitul Mahabbah di Kelantan, Johor dan Kedah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata inisiatif itu bakal memanfaatkan 1,396 tahanan kanak-kanak yang kini berada di 20 depoh imigresen di seluruh negara, setakat 31 Mac tahun ini.
"Baitul Mahabbah ini suasananya jauh lebih kondusif dengan penjagaan yang lebih baik.
"Mereka juga berpeluang untuk mengikuti kelas-kelas mengenal huruf yang dikendalikan sendiri oleh pegawai-pegawai Jabatan Imigresen, keselamatan dijaga oleh RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia).
"Tiga Baitul Mahabbah sekarang yang pertama di Nilai, di Papar, Sabah dan Miri," katanya ketika ditemui media pada Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni Jabatan Imigresen di sini.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata belum ada pihak yang tampil mengadakan pertemuan berhubung dakwaan berlaku kekerasan di depoh imigresen.
Sehingga kini, tiada sebarang maklum balas dibuat meskipun pihaknya menyatakan kesediaan untuk menjawab semua dakwaan berkenaan.
"Kelompok ini yang memasuki negara kita menyalahi undang-undang.
"Kita uruskan mereka secara perundangan.
"Kita jaga mereka secara perikemanusiaan, sebab itu saya menempelak terus kalau laporan sebelah pihak atas nama apa pun termasuk 'Human Rights Watch', supaya lebih cermat..sepatutnya lebih berlaku adil kepada kerajaan Malaysia..kepada Jabatan Imigresen yang mengendalikan," kata Saifuddin Nasution.