fb fb fb fb fb

Peruntukan RM1 juta, untuk Tabung Kasih@HAWANA 2025 - PM

Foto BERNAMA

KUCHING, 27 Mei- Kerajaan meneruskan peruntukan Tabung Kasih@HAWANA sebanyak RM1 juta bagi tahun 2025.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dana tersebut bagi membantu pengamal media yang ditimpa kesusahan.

"Tahun lalu, saya umum untuk Tabung Kasih Hawana sebanyak RM1 juta. Jadi, saya akan teruskan Tabung Kasih@HAWANA dengan peruntukan RM1 juta untuk tahun ini," kata Anwar ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, di sini, petang tadi.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi pelaksanaan Pusat Latihan Kecemerlangan supaya terus menambah kursus latihan terutama dalam bidang teknologi buatan AI.

"Bagaimanapun, kita minta BERNAMA supaya bantu selaraskan beberapa kegiatan dan ada sekarang ini Pusat Latihan Kecemerlangan BERNAMA supaya menambah kursus latihan terutama dalam bidang teknologi AI untuk pengamal media. Kita luluskan jumlah RM1 juta lagi untuk tabung tersebut," tambah Anwar.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau telah bersara selain mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Kod Etika Kewartawanan bukan menetapkan sesuatu yang dipaksa oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia adalah kod bagi mengangkat martabat dan harakat bangsa.

"Mengangkat bangsa itu bererti menggapai alam yang diterokai baharu termasuk digital dan kecerdasan buatan (AI) tetapi tidak pernah lupa untuk mengakar bumi. Mengakar itu berertinya nilai kemanusiaan, nilai akhlak dan etika kerana manusia itu tidak tertegak dengan hanya dengan AI ataupun bangunan atau infrastruktur."

"Tetapi, ia tertegak dengan kekuatan fizikal, keindahan, teknologi tetapi dengan nilai kemanusiaan," tegas Anwar ketika menyampaikan amanat dalam Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM