fb fb fb fb fb

Peruntukan RM1 bilion, lahirkan generasi baharu usahawan bumiputera - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 2 Mac - Kerajaan akan memperuntukkan dana RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana itu bertepatan dengan hasrat dan syor Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 untuk mewujudkan sebuah Dana Pemacu Transformasi Bumiputera.

"Sebab itu saya mempertanggungjawabkan melalui Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) ini satu dana besar khusus bagi pembinaan penzahiran generasi usahawan bumiputera, kita mesti mampu mencipta lebih banyak usahawan bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Dalam pada itu, Anwar berkata skim Perumahan Madani akan diwujud segara bagi membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik atas tanah rizab Melayu.

Beliau berkata, ia bagi menjamin kesejahteraan kaum tersebut di bandar.

"Ini termasuk pelaburan hartanah berhad telah membangunkan umpanya sebagai contoh Hospital Pakar KPJ, itu ditanah rizab melayu di Sungai Penchala. Ini satu contoh yang baik dan kita akan teruskan segera dengan skim Perumahan MADANI," katanya.

Tambah Anwar, kerajaan juga akan memastikan pemilikan 200 ekar tanah kerajaan termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu.

Sementara itu, tiga isbat atau penetapan turut digariskan Anwar bagi mendukung aspirasi, untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju agenda baharu pemerkasaan bumiputera.

Katanya, pelan jangka panjang pemerkasaan bumiputera itu, adalah bagi tempoh 10 tahun akan datang, bermula tahun ini.

Penetapan tersebut adalah memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tata kelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.

"Memperkukuh pasak ekonomi negara sama ada daya saing, perskalaan, pemilikan ekuiti, bakat meningkat pendapatan. Untuk itu, dengan cara yang sedemikian kita dapat tingkatkan taraf sosioekonomi ke landasan yang lebih baik," katanya.

Anwar berkata, di bawah penetapan itu, beliau berharap golongan bumiputera dapat meningkatkan taraf sosioekonomi ke landasan yang lebih baik dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN