Peruntukan RM1.5 juta naik taraf Hentian Gua Musang

Terminal bas Gua Musang

GUA MUSANG, 2 Mac – Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi membina terminal bas baharu di Hentian Gua Musang, Kelantan, dalam usaha meningkatkan tahap keselesaan pengguna pengangkutan awam di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM1.5 juta disediakan untuk membina terminal bas baharu di Hentian Gua Musang.
  • Projek naik taraf dijangka dilaksanakan sebelum pertengahan tahun untuk meningkatkan keselesaan penumpang.
  • Peningkatan ruang menunggu dan kaunter tiket akan memudahkan urusan penumpang, terutama musim perayaan.

Pengerusi Eksekutif Hentian Gua Musang, Che Ibrahim Che Ismail berkata, projek naik taraf itu dijangka dilaksanakan sebelum pertengahan tahun ini dan bakal memberi nafas baharu kepada hentian itu yang menjadi lokasi utama pergerakan bas ekspres serta perkhidmatan BAS.My.

Menurut beliau, pembinaan terminal tersebut amat penting berikutan peningkatan jumlah penumpang, khususnya pada musim perayaan dan cuti umum.

“Ketika ini, Hentian Gua Musang dalam perancangan untuk dinaik taraf kepada terminal bas yang lebih selesa. Kerja-kerja naik taraf dijangka bermula pertengahan tahun ini bagi memastikan penumpang bas ekspres dan BAS.My yang memulakan perjalanan dari Gua Musang ke Kota Bharu berada dalam keadaan lebih selesa ketika menunggu bas,” katanya.

Selain menyediakan ruang menunggu yang lebih selesa, kaunter tiket bas yang lebih tersusun juga akan dinaik taraf bagi memudahkan urusan penumpang.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Hentian Gua Musang di Masjid Mutiara Hentian Gua Musang.

Pada majlis tersebut, seramai 270 penerima terdiri daripada golongan fakir miskin, asnaf dan anak yatim sekitar daerah Gua Musang menerima sumbangan zakat.