GUA MUSANG, 5 Februari - Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerima peruntukan RM1.5 juta kepada bagi membina sebuah Taman Bimbingan Kanak- kanak (TABIKA) kepada penduduk Orang Asli Kampung Teranek di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata, selain itu sebuah lagi TABIKA untuk kanak-kanak Orang Asli di Kampung Sendrop, Tanah Tinggi Lojing akan beroperasi pada Mac depan.
Menurut beliau, pertambahan itu bagi menampung permintaan yang sangat tinggi khususnya kanak-kanak Orang Asli di kawasan pinggir bandar.
"Pada tahun ini Alhamdulillah pihak Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melalui Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKDW) telah meluluskan untuk pembinaan sebuah TABIKA baru di Kampung Teranek yang menelan belanja RM1.5 juta yang telah dipantau sendiri pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
"Saya ucap terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri iaitu Menteri KKDW yang telah meluluskan sejumlah peruntukan yang besar untuk kita sempurnakan pembinaan TABIKA ini. Yang keduanya ada beberapa lagi TABIKA akan dibuka di kawasan Lojing ini iaitu di Pos Sendrop. Sebuah lagi TABIKA akan dibuka selepas mendapat permohonan daripada orang kampung," kata Mohd Syahbuddin kepada media selepas Majlis Apresiasi Tabika Kemas Jakoa peringkat Parlimen Gua Musang di Dewan Terbuka Pos Brooke.
Sementara itu, Pengarah KEMAS Kelantan, Hashim Alang Abdul Hamid memberitahu sebanyak RM252,000 setahun diperuntukkan kerajaan kepada 376 kanak-kanak Orang Asli di 22 TABIKA di kawasan JAKOA untuk bantuan makanan tambahan.
"Untuk tahun 2024 ini kita ada RM252,000 di mana mereka setiap kanak-kanak ini mendapat RM3 lebih sehari dan akan dibagi untuk bantuan makanan. Lain-lain kos yang lain guru, peralatan lain kita tak ambil kira. Ini rutin harian RM252, 000 ini secara tahunan untuk tabika bawah selian Jabatan Kemajuan Orang Asli," kata Hashim, di sini.