fb fb fb fb fb

Perumahan orang asli akan dibina mengikut cita rasa, budaya

Ahmad Zahid Hamidi/ Foto RTM

KLUANG, 26 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu perumahan masyarakat orang asli dibina mengikut cita rasa dan budaya mereka.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau telah menerima kertas kerja berhubung perkara tersebut daripada Anwar.

"Perdana Menteri telah menyerahkan satu kertas kerja kepada saya, dan saya telah menyerahkannya kepada Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli.

"Apa yang Perdana Menteri mahukan ialah rumah-rumah orang asli mesti dibina mengikut cita rasa mereka serta budaya dan latar belakang mereka," katanya menerusi ucapan pada Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh di sini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyatakan bahawa perkara itu telah dipersetujui secara kasar dan sesi penerangan akan diadakan kepada semua tok batin di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyatakan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menaikkan taraf jalan masuk ke setiap kampung orang asli di Malaysia.

Beliau juga menegaskan bahawa ini bukan janji pilihan raya, tetapi merupakan arahan untuk memastikan keselesaan setiap masyarakat di perkampungan orang asli.

"JKR perlu melaksanakan tugas ini nanti. Ini bukan janji pilihan raya, ini perintah," katanya.

Ahmad Zahid berkata pihaknya amat prihatin terhadap orang asli.

"Insya-Allah, apabila Akta Orang Asli 1954 dipinda dengan akta baharu, dasar pembangunan orang asli siap..saya yakin kehidupan mereka akan terus bertambah lebih baik," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM