fb fb fb fb fb

Perubahan signifikan kutub utara, cetus krisis iklim dunia

Nik Nazmi Nik Ahmad

BANGI, 14 Mei- Perubahan signifikan dapat dilihat menerusi peningkatan suhu yang ketara di kawasan Artik dan Antartika dan boleh menyebabkan kenaikan paras laut kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Perkara itu juga dijangka akan memberi kesan kepada bumi yang mungkin menyebabkan peningkatan kerosakan sehingga enam kali ganda daripada kos untuk mengehadkan pemanasan global.

Kajian menunjukkan krisis iklim yang sedang berlaku berupaya mengurangkan pendapatan penduduk global sebanyak 20 peratus dalam masa 26 tahun akan datang.

"Saya percaya kawasan kutub, Artik dan Antartika, adalah barometer kesihatan planet kita. Kawasan kutub, semakin cepat memanas akan mengakibatkan perubahan ketara dalam iklim dan kenaikan paras laut.

"Kita sedang menyaksikan beberapa perubahan ketara dan pantas akibat perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia dan pemanasan global," katanya dalam Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia (MISA) ke-10 di sini.

Tambahnya kedudukan global Malaysia di tempat ke-36 dalam penerbitan kertas kerja kajian Artik dan Antartika adalah hasil sumbangan penyelidik tempatan, sekali gus membuktikan dedikasi dan kecemerlangan penyelidik Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI