
SEBERANG JAYA, 8 Februari– Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan 2,500 pertubuhan belia berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) untuk memohon Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI bagi Persatuan Belia (SejaTi MADANI x Belia).
- Geran SejaTi MADANI peruntuk sehingga RM100,000 setiap pertubuhan, dengan total RM250 juta bagi menyokong persatuan belia.
- KBS sasar 2,500 pertubuhan berdaftar ROY untuk memohon dan memperkasa keupayaan organisasi menjana pendapatan sendiri.
- Syarat permohonan termasuk penyertaan program SPB, lengkapi dokumen dan memohon secara dalam talian.
Setiap pertubuhan berpeluang menerima pembiayaan sehingga RM100,000, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM250 juta.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata inisiatif itu merupakan kali pertama disalurkan khusus kepada pertubuhan belia bagi memperkasa keupayaan organisasi menjana pendapatan serta melahirkan belia yang berdikari dan berdaya saing.
“RM100,000 ini bukan geran sekali beri. Hasrat kita adalah agar ia mampu menjana lebih banyak, mungkin menjadi RM500,000 atau RM1 juta dalam tempoh setahun, sebagai modal untuk pertubuhan belia menjana pendapatan sendiri,” kata Dr. Taufiq kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Santuni Pertubuhan Belia 2026 (SPB 2026), Peringkat Kebangsaan dan Peluncuran Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI bagi Persatuan Belia (SejaTi MADANI x Belia), di sini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu.
Program SPB akan dilaksanakan melalui 12 siri jelajah di seluruh negara, bermula dengan siri pertama di peringkat kebangsaan yang dikendalikan oleh ROY.
Tujuan program adalah memastikan pertubuhan belia berada dalam struktur organisasi yang baik, mematuhi undang-undang sedia ada, serta diperkasakan dari segi tadbir urus dan pengisian program.
Wakil pertubuhan belia yang ditemui menyifatkan inisiatif berkenaan mampu meningkatkan lagi keupayaan mereka dalam melaksanakan program berskala lebih besar dan berimpak tinggi.
“Dana SejaTi MADANI ini memberi peluang untuk menggilap bakat anak muda, mencari projek, melibatkan diri dengan komuniti, serta mengurus aliran kewangan pertubuhan dengan lebih baik,” kata Nur Kamilia Khairul Ed’zuan.
“Geran ini membantu persatuan belia, terutamanya dalam merealisasikan program dan membangunkan komuniti dari segi ekonomi,” jelas Aminuddin Ghazali.
“Sebanyak RM100,000 ini memadai kerana tidak semua pertubuhan belia mendapat peruntukan untuk melaksanakan program mereka,” ujar Muhammad Zulhusni Mat Husin.
Antara syarat utama permohonan geran ialah menyertai program SPB, melengkapkan dokumen dan membuat permohonan secara atas talian.
Seramai 187 pertubuhan belia telah menyertai program SPB Peringkat Kebangsaan pada hari ini, dengan kehadiran kira-kira 500 belia.
Setakat 30 Januari 2026, sebanyak 8,077 pertubuhan belia telah berdaftar di bawah ROY dan kerajaan akan terus mempergiat usaha untuk meningkatkan penyertaan serta penglibatan aktif belia dalam persatuan.