KUALA LUMPUR, 9 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto dalam satu majlis makan tengah hari di Rumah Tangsi.
Sejurus tiba kira-kira pukul 11.10 pagi, Prabowo disambut oleh Perdana Menteri disusuli perbincangan empat mata secara tertutup sambil menjamu selera selama kira-kira hampir dua jam, berkaitan usaha meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Probowo tiba di Malaysia pagi tadi bagi lawatan rasmi sehari ke Malaysia. Ini merupakan kunjungan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Oktober 2024.
Lawatan tersebut turut mencerminkan hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia, disokong kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama dua hala serta meneroka peluang baharu bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
Seiring dengan Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia dan Indonesia dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau dan pendekatan bersama dalam menangani cabaran global.
Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah meningkat kepada RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.