(Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar Ibrahim)
PUTRAJAYA, 8 Ogos- Sebanyak tiga memorandum persefahaman (MoU) berjaya ditandatangan menerusi pertemuan antara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, di sini, hari ini.
MoU pertama adalah berkenaan Perpindahan Banduan Antarabangsa (ATAS) yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan rakan sejawatannya, Datuk Seri Setia Awang Haji Ahamaddin Abdul Rahman.
MoU kedua melibatkan kerjasama dalam bidang belia dan sukan yang ditandatangani Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
MoU terakhir adalah kerjasama dalam bidang kehakiman syariah yang ditandatangani Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain dan Ketua Hakim Syarie Brunei, Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Paduka Seri Setia Awang Salim Besar.
Lawatan negara Sultan Hassanal Bolkiah itu bertepatan dengan Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) Ke-24 yang akan dihadiri baginda dan Anwar.
ALC akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan isu tertunggak serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Ia sekali gus akan mengukuhkan lagi hubungan yang telah terjalin lama dan kerjasama pelbagai aspek antara kedua-dua negara serta rakan kongsi di ASEAN.
Tahun lalu, Brunei adalah rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM13.22 bilion (AS$2.98 bilion) peningkatan 68.4% berbanding nilai dicatatkan pada 2021.
(Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar Ibrahim)