HULU TERENGGANU, 28 November- Pertembungan tiga sungai iaitu Sungai Kua, Sungai Berang dan Sungai Terengganu yang mengelilingi Kampung Kua, Kampung Pengkalan Ajal serta beberapa kampung berhampiran menjadi punca utama kawasan tersebut dilanda banjir sekiranya hujan lebat berterusan selama tiga hingga empat jam.
Menurut Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kua, Wahab Awang, penduduk yang terdiri daripada 90 peratus pekebun kecil sentiasa peka dengan perkembangan berkaitan banjir dan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau situasi tersebut.
"Kami dah biasa hadapi situasi seperti ini setiap tahun. Kami ada jawatankuasa khas melibatkan golongan muda, dan setiap ahli jawatankuasa telah diberikan tugas masing-masing.
"Selalunya banjir berlaku tiga kali – kalau tidak besar pada kejadian pertama, mungkin besar pada kali kedua atau ketiga. Keadaan ini sukar dijangka," katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.
Penduduk terjejas seperti Fatimah Jangi dan Norisah Salleh turut berkongsi pengalaman mereka menghadapi banjir. Menurut mereka, banjir berlaku dengan cepat sehingga ada yang tidak sempat menyelamatkan barang-barang rumah.
Ketika ini, seramai 233 penduduk daripada 85 keluarga telah dipindahkan dan ditempatkan di Masjid Kampung Kua sebagai langkah keselamatan.