
GOMBAK, 10 April – Rakyat digalakkan mengamalkan pertanian komuniti dan bercucuk tanam bagi memenuhi keperluan asas harian, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran luar dan import makanan.
- Pertanian komuniti menyumbang kepada keterjaminan makanan negara dengan mengurangkan kebergantungan import dan memperkukuh pengeluaran tempatan.
- Contoh Garden 8: penanaman organik, pembajaan kompos dari sisa dapur, menghasilkan sayur dan herba selamat untuk kegunaan komuniti.
- Kerjasama UPM, teknologi pertanian pintar dan kemudahan seperti pengurusan air hujan serta jualan hasil tani tingkatkan ekonomi serta kelestarian komuniti.
Langkah ini penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan global.
Seiring usaha itu, Kebun Komuniti Garden 8 di Taman Perwira Setia, Gombak menjadi contoh kejayaan komuniti dalam membangunkan sistem makanan kendiri secara lestari.
Bermula sebagai hobi ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2020, kini ia berkembang melibatkan lebih 70 ahli daripada 76 buah rumah.
Melalui konsep penanaman organik tanpa penggunaan racun serta pembajaan menggunakan kompos daripada sisa dapur, komuniti ini berjaya menghasilkan pelbagai sayur-sayuran dan tanaman herba untuk kegunaan sendiri dan membantu komuniti kejiranan mendapatkan bahan makanan segar dan selamat.
Menurut Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed, galakan terhadap pertanian komuniti amat penting dalam meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata, Malaysia masih bergantung kepada import bagi beberapa bahan makanan kritikal seperti bijirin, tenusu dan makanan haiwan.
Tambah beliau, usaha memperkasa pengeluaran tempatan serta menggalakkan masyarakat bercucuk tanam perlu diperkukuh, termasuk melalui penggunaan teknologi pertanian pintar.
Inisiatif Garden 8 turut diperkukuh melalui kerjasama Universiti Putra Malaysia yang menyediakan latihan dan khidmat nasihat dalam bidang pertanian dan pengurusan tanaman.
Selain menghasilkan makanan sendiri, kebun ini turut dilengkapi kemudahan seperti sistem pengurusan air hujan, pencahayaan solar serta pelan tindakan kebakaran dan pembentungan, menjadikannya kawasan riadah komuniti yang ceria dan bermanfaat.
Bagi memastikan kelestarian serta memperkukuh ekonomi komuniti, Garden 8 turut menganjurkan jualan hasil tani sebulan sekali dengan pendapatan mencecah kira-kira RM2000 setiap sesi, sekali gus menyokong penubuhan entiti perniagaan sendiri.
Usaha pertanian komuniti seperti ini dilihat mampu memperkukuh pengeluaran makanan tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import dan meningkatkan keterjaminan makanan negara.