ARAU, 22 September -Seramai 75 peserta mewakili lima kumpulan koir dari lima kawasan Dewan Undangan Negeri bagi Parlimen Arau menyertai Pertandingan Koir Komuniti Parlimen Arau yang berlangsung di Pejabat UMNO Bahagian Arau.
Program yang menghimpunkan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat itu merupakan satu inisiatif bagi mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain.
Penyelaras Program Rozieana Ahmad dalam kenyataan berkata, setiap kumpulan koir terlibat mempersembahkan koir yang bertemakan Kenegaraan dan Kemerdekaan Negara sebagai medium membangkitkan semangat anak Malaysia.
"Inisiatif mengetengahkan koir ini juga bagi memperkasakan semangat cintakan tanah air dan membina jati diri yang jitu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan khususnya dikalangan generasi muda untuk menjadi pemimpin yang berjaya pada masa hadapan," menurutnya menerusi kenyataan itu.
Dalam pertandingan koir tersebit, pasukan Gema Lagenda dari DUN Tambun Tulang muncul Johan, manakala Naib Johan oleh pasukan Gemersik Utara dari DUN Pauh dan pasukan Harmoni mewakili DUN Simpang Empat di tempat ketiga.
Selain Pertandingan Koir Komuniti, turut berlangsung ialah pertandingan menyedia dan menghias pulut bertemakan Jalur Gemilang sebagai satu usaha menyemarakkan semangat cintakan negara.
Bagi hiasan pulut, johan diungguli Haliza Murad mewakili DUN Guar Sanji, manakala tempat kedua dan ketiga oleh Norma Mahamad dari DUN Pauh dan Farah Hanani dari DUN Tambun Tulang.