
KOTA BHARU, 7 Februari– Sambutan menggalakkan diterima bagi Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 apabila seramai 14 kumpulan dari dalam dan luar Kelantan menyertai peringkat saringan yang berlangsung di Kelantan FM, di sini, hari ini.
- Sambutan menggalakkan dengan 14 kumpulan menyertai peringkat saringan dari Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur.
- Kumpulan wanita layak automatik ke separuh akhir sebagai penghargaan pertama kali penyertaan mereka.
- Penjurian akan menentukan 8 suku akhir, 4 separuh akhir dan 2 ke peringkat akhir pada 9 Februari.
- Pakaian peserta ditaja sepenuhnya oleh Raja Perfume X Lavabelle dan penilaian merangkumi vokal, sebutan, persembahan muzik dan busana.
Penerbit pertandingan, Muhammad Amir Akram Muhammad atau lebih dikenali sebagai DJ Poksu berkata, daripada jumlah tersebut, 11 kumpulan berasal dari Kelantan manakala tiga lagi masing-masing dari Johor dan Kuala Lumpur.
Menurut beliau, tiga kumpulan luar Kelantan itu telah melalui sesi saringan di RTM Angkasapuri dan Johor FM.
Sementara itu, tiada saringan diadakan bagi kategori wanita apabila kesemua enam kumpulan terbabit layak secara automatik ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur, pada April depan.
“Penyertaan kumpulan wanita ini adalah buat julung kali bagi menghargai kesungguhan mereka. RTM membuat keputusan untuk melayakkan kesemua kumpulan wanita terus ke peringkat separuh akhir.”
“Bagi peringkat saringan ini, penjurian akan diadakan pada 9 Februari bagi melayakkan 14 kumpulan ke peringkat suku akhir melibatkan lapan kumpulan, seterusnya empat kumpulan ke separuh akhir dan dua kumpulan ke peringkat akhir,” kata Muhammad Amir kepada pemberita, hari ini.
Dalam pada itu, rata-rata peserta yang ditemui berharap dapat melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
“Kita pernah menyertai pertandingan anjuran RTM pada tahun 2022 dan ketika itu bergelar naib juara. Pada edisi 2024, kita berjaya muncul juara dan mencuba nasib sekali lagi pada tahun 2026,” kata Mohd Zarif Ihsan, daripada kumpulan Kala Maharaja.
Bagi peserta lain, Mohd Amirul Halim daripada pasukan Medan Kemulang berharap dapat melangkah lebih jauh selepas menjadi finalis pada edisi 2024.
“Latihan kita mengambil masa kira-kira sebulan. Apabila penyertaan dibuka, kita terus memulakan latihan sebanyak tiga kali seminggu,” kata Mohd Amirul.
Bagi pasukan Lestari Putramas, penyertaan kali pertama dalam pertandingan anjuran RTM itu memberi pengalaman berharga walaupun berdepan persaingan sengit.
“Persaingan agak sengit kerana terdapat kumpulan yang lebih senior dan pernah menyertai pertandingan ini sebelum ini, sekali gus menjadikan saingan lebih mencabar,” kata Muhammad Saifullah Hisham Abdul Manaf, wakil kumpulan Lestari Putramas.
Buat julung kali, pakaian peserta pada peringkat saringan tersebut ditaja sepenuhnya oleh penaja tunggal Pertandingan Dikir Barat RTM 2026, Raja Perfume X Lavabelle.
Kriteria penilaian bagi peringkat itu merangkumi aspek kemerduan suara tok jogho, kelancaran sebutan, kesungguhan awak-awak dari segi persembahan muzik serta pemilihan busana.