fb fb fb fb fb

Pertandingan Dikir Barat 2024 mengangkat martabat seni warisan

Salah satu kumpulan yang berentap pada peringkat saringan yang berlangsung di Auditorium Titian Murni, Kelantanfm hari ini.

KOTA BHARU, 27 April- Jabatan Penyiaran terus mengangkat Martabat seni warisan Dikir Barat menerusi Pertandingan Dikir Barat 2024.

Penerbit pertandingan, Roselam Che Sof berkata, program mencungkil bakat generasi muda itu berlangsung meriah dengan 20 kumpulan berentap pada peringkat saringan yang berlangsung di Auditorium Titian Murni, Kelantanfm hari ini.

Katanya, lapan kumpulan yang melepasi peringkat saringan akan mempamerkan aksi dan kreativiti masing-masing pada peringkat separuh akhir berlangsung pada 4 Mei depan.
 
“Kali ini pertandingan peringkat negeri kita menawarkan RM30,000 untuk johan, RM20,000 untuk naib johan, manakala tempat ketiga bakal menerima RM10,000. Kita juga sediakan RM5,000 kepada tukang karut terbaik. Nilai hadiah memang besar dan kita pun menerima banyak penyertaan untuk tahun ini," katanya.

Tambah Roselam bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menonton pertandingan itu, satu skrin besar turut disediakan di perkarangan Anjung Seni, selain siaran langsung menerusi laman Facebook Kelantanfm.

Sementara itu, Juara Tukang Karut Terbaik Dikir Barat Kebangsaan 2022 menjadi Pengurus Kumpulan Sidi Sakti Melor, Wan Mohd Suhaizi Wan Mohd berkata, persaingan daripada kumpulan-kumpulan dikir barat dilihat agak sengit membuktikan seni warisan ini masih relevan dan diterima masyarakat khususnya golongan muda.

“Saya menyokong penuh RTM mengadakan pertandingan macam ini untuk menaikkan martabat seni kita terutama dikir barat bagi melestarikan seni ini dengan cara macam inilah. Moga RTM terus menganjurkan program ini dengan hadiah yang lebih menarik lagi," ujarnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI