TOKYO, 24 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang mempersoal langkah rasionalisasi subsidi bermula dengan diesel yang diumum kerajaan baru-baru ini.
"Mengapa yang nak sibuk menentang penyasaran? Dia nak pertahan siapa? Golongan maha kaya? Warga asing?
"Kita tekankan penyasaran subsidi ini untuk menarik (subsidi) daripada golongan maha kaya dan warga asing. Ini tidak menekan (golongan lain).
"Diesel tidak digunakan oleh majoriti rakyat dan bagi yang terkait (seperti) pemandu teksi, pekebun kecil, nelayan... itu semua diberi pengecualian," kata Anwar kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Perdana Menteri memberi respon itu terhadap kritikan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menuduh beliau menimbulkan rasa tidak senang rakyat susulan perutusan negara menyentuh langkah rasionalisasi subsidi pada Selasa lepas.
Tambah Anwar, Hamzah dan beberapa pemimpin pembangkang lain tidak sepatutnya membuat tuduhan berkenaan kerana berdasarkan pengalaman segelintir mereka yang pernah menjawat jawatan menteri. Justeru, mereka seharusnya sudah memahami amalan penggubalan dasar kerajaan.
Selasa lalu, Perdana Menteri ketika menyampaikan Perutusan Negara mengumumkan Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula diesel membabitkan pengguna di Semenanjung.
Anwar berkata, subsidi bagi diesel akan ditarik balik bagi golongan "orang kaya dan warga asing".
Subsidi diesel akan pertama kali diselaraskan di Semenanjung, manakala pelaksanaannya di Sabah dan Sarawak akan berlaku kemudian tanpa menyebut sebarang jangka waktu pelaksanaan.
Bagi mengelakkan sebarang kenaikan mendadak dalam kos barang dan perkhidmatan, Anwar berkata, subsidi akan diteruskan untuk peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel dan pengangkutan awam.
Sepuluh jenis kenderaan pengangkutan awam termasuk bas dan teksi serta 23 kenderaan pengangkutan barang akan termasuk dalam Sistem Kawalan Diesel Bertaraf Subsidi (SKDS).
Subsidi diesel juga akan diteruskan untuk beberapa kategori nelayan.
Bantuan tunai juga akan diberikan kepada individu layak yang memiliki kenderaan bermotor diesel peribadi, seperti peniaga kecil dan petani.
ARTIKEL BERKAITAN
Penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel di Semenanjung Malaysia- PM
Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, tindakan berani - Nga
'Subsidi diesel beri ruang pengguna nikmati harga lebih rendah' - Pengguna
Penyasaran subsidi diesel, GPBSM sambut baik langkah kerajaan
Sistem MySubsidi Diesel, 'Fleet Card', bermula bulan depan
MySubsidi Diesel, boleh pilih tiga syarikat minyak
KPDN perluas projek rintis SKDS 2.0
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 diperluas