KUALA LUMPUR, 9 September- Persembahan Rumah MADANI Jiwa Merdeka antara kelainan dalam Sambutan Hari Malaysia tahun ini yang dijadual berlangsung pada 16 September di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 berkata Rumah MADANI Jiwa Merdeka bakal dipersembahkan 100 orang artis budaya daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
“Rumah MADANI Jiwa Merdeka bakal mengetengahkan lima elemen kenegaraan termasuk lagu Negaraku, perpaduan, dinamik kemajuan, transformasi negara dan jiwa merdeka.
“Setiap elemen mempunyai makna tersendiri yang akan dikaitkan dengan tema Hari Kebangsaan iaitu ‘Malaysia MADANI Jiwa Merdeka’, serta kemajuan yang dicapai negara sejak zaman kemerdekaan dan perpaduan berbilang kaum,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angksapuri.
Beliau berkata artis popular seperti Stacy, Amir Jahari dan Faizal Tahir turut memeriahkan sambutan Hari Malaysia dengan pra-persembahan bermula pada pukul 5 petang.
Mohamad Fauzi turut mengajak orang ramai menyaksikan acara sambutan Hari Malaysia hingga selesai yang menyajikan segmen persembahan dron, pertunjukan ‘light and sound’ serta bunga api pada penghujung program.
“Orang ramai dinasihat untuk merancang perjalanan lebih awal memandangkan kita menjangka kehadiran lebih 30,000 pengunjung ke program ini,” katanya.