fb fb fb fb fb

Persediaan hadapi cabaran penuaan negara, rangka tindakan digubal

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 31 Julai - Malaysia telah menjadi negara menua sejak 2021 dan akan beralih kepada negara tua seawal 2043.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peralihan kepada negara tua pastinya menuntut komitmen kewangan yang lebih besar.

"Namun, demi memastikan tiada siapa yang tercicir, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 digubal sebagai panduan menyeluruh bagi persediaan menghadapi cabaran penuaan negara.

"Dalam hubungan ini, RMK13 akan memberi penekanan kepada penyediaan ekosistem perkhidmatan penjagaan jangka panjang (LTC) yang lebih cekap dan mampan. Perkhidmatan LTC yang berkualiti, mudah diakses dan mampu bayar mencerminkan ihsan berterusan Kerajaan.

Datuk Seri Anwar menegaskan instrumen perundangan juga akan digubal bagi memastikan keseragaman dasar dan peraturan penjagaan.

Menurutnya, satu entiti khusus yang berperanan mengawal selia ekosistem penjagaan secara menyeluruh juga akan dikenal pasti.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memartabatkan sektor penjagaan sebagai kerjaya berpotensi tinggi, insentif perlindungan sosial dan faedah akan disediakan kepada penjaga serta pekerja perkhidmatan LTC.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK