fb fb fb fb fb

Perolehan kapal baharu Maritim Malaysia, tingkat keupayaan jaga perairan negara

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Pengumuman peruntukan pembelian tiga kapal baharu bagi Maritim Malaysia dalam Belanjawan 2025 dilihat tepat pada masanya berikutan kekangan aset yang dihadapi agensi itu ketika ini dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata pengumuman itu juga menandakan komitmen berterusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberikan justifikasi kukuh tentang keperluan mendesak Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara khususnya di Laut China Selatan.

“Penambahan aset ini adalah tepat pada masanya kerana Maritim Malaysia kini berhadapan kekangan keupayaan aset dalam menjaga keselamatan di Zon Maritim Malaysia terutamanya di kawasan sempadan perairan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Rosli berkata peruntukan tersebut akan menambah keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat seiring dengan Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu Kesejahteraan Sosial dan Keyakinan dalam melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan susulan peruntukan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan penambahan tiga aset baharu iaitu sebuah kapal misi pelbagai guna dan dua kapal ronda generasi baharu serta menaik taraf enam kapal bawah Ship Life Extension Programme (SLEP) Fasa 2. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF