fb fb fb fb fb

Perniagaan di Jalan Masjid India boleh beroperasi seperti biasa esok

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Operasi perniagaan di Jalan Masjid India di sini boleh dijalankan seperti biasa esok, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Beliau berkata pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sekitar lokasi kejadian wanita warga asing yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pagi tadi, mendapati kawasan itu selamat.

"Perniagaan di sini akan beroperasi seperti biasa (esok) tetapi mereka (peniaga) dinasihatkan untuk berjaga-jaga," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Mengulas rungutan peniaga mengenai berlaku beberapa kejadian mendapan tanah di kawasan terbabit, Maimunah berkata perkara berkenaan dalam pemerhatian dan tindakan pihaknya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Mohamad Hamim berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan dan kejadian mendapan yang berlaku sebelum ini tidak melibatkan kehilangan nyawa atau harta benda.

"Pemantauan dan penyelenggaraan dilakukan secara berterusan," katanya.

Terdahulu, peniaga di sekitar kawasan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India mahu pihak berkuasa melakukan pemantauan berterusan di tempat berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya memandangkan bukan kali pertama kes seperti itu berlaku.

Hari ini, media melaporkan mangsa dikenali Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu.

Lokasi kejadian hanya beberapa meter dari premis perniagaan di kawasan terbabit.

Setakat 10.20 malam ini, pasukan penyelamat masih meneruskan misi mencari dan menyelamat mangsa.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN