fb fb fb fb fb

Permohonan penyertaan ahli SBWP dilanjutkan- Zaliha

Foto BERNAMA

BUKIT KIARA, 18 Mei- Permohonan penyertaan sebagai ahli Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) dilanjutkan sehingga akhir Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, lanjutan penyertaan itu adalah bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai aktiviti pembangunan belia serta boleh menyumbang idea yang bernas.

Beliau berkata, setakat ini seramai 200 permohonan telah diterima dan 65 peserta yang terpilih akan disenarai pendek oleh Jawatankuasa Pemilihan Peserta.

"Walaupun kita hanya menerima 65, ini adalah satu pencapaian yang baiklah.

"Kita buka lagi supaya kita dapat lihat pelbagai latar belakang untuk sama-sama menyertai dalam sidang ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

SBWP adalah platform terbuka dan inklusif yang akan menyatukan anak-anak muda dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan pelbagai latar belakang bagi membahaskan usul terkait dasar dan polisi di Wilayah Persekutuan.

SBWP membabitkan 13 kawasan Parlimen dalam Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan dengan setiap Parlimen diwakili lima orang.

Antara isu yang akan menjadi skop perbincangan usul SBWP adalah ekonomi, sosial, teknologi dan perundangan.

Permohonan boleh dibuat melalui laman web http://sidangbeliawp.my.

Sementara itu, Zaliha berkata peruntukan sebanyak RM50,000 disalurkan kepada Majlis Belia Wilayah Persekutuan bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan belia.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM