fb fb fb fb fb

Permohonan pengeluaran khas RM10,000 KWSP menerusi portal

(GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA, 29 Mac - Pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah kemudahan pengeluaran khas  boleh membuat permohonan melalui portal khas.

KWSP memaklumkan, pemohon boleh berbuat demikian bermula 1 April ini melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.

"Dalam pengumuman pada 16 Mac lalu, KWSP memaklumkan permohonan untuk pengeluaran itu akan dibuka kepada ahli bawah usia 55 tahun, bermula 1 April ini dan tempoh permohonan berakhir pada 30 April, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April ini.

"Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50. Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun," kata KWSP menerusi satu kenyataan.

(FOTO KWSP)

Kenyataan turut memaklumkan, Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan akan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa dan ahli perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan di bawah nama ahli sendiri.

Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan.

Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan 'Ask ELYA' dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di talian 03-8922 4848, bermula 1 April ini.

Pencarum boleh membuat semakan status permohonan bermula 9 April melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

Media Baharu