fb fb fb fb fb

Permohonan lesen media sosial tidak sukar - Fahmi

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 21 Ogos- Kementerian Komunikasi memberi jaminan bahawa proses permohonan lesen untuk membolehkan penyedia platform media sosial beroperasi di negara ini tidak sukar.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan proses permohonan itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima hari bekerja.

"Kita beri jaminan kepada (penyedia) platform media sosial, memandangkan yang kita kenakan ini adalah 'Class License' maka prosesnya tidak sukar dibandingkan dengan 'Individual License'.

"Kalau 'Individual License' mungkin akan ambil masa beberapa bulan untuk diproses tetapi bagi 'Class License', MCMC memaklumkan akan ambil masa tiga hingga lima hari bekerja," katanya dalam sidang media di sini.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dijangka menerima permohonan mendapatkan lesen daripada pengendali platform media sosial sekitar Oktober atau November ini.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan bahawa tiada sebarang arahan dan ketetapan dikeluarkan kepada penjawat awam di negara ini untuk menggunakan perkhidmatan aplikasi telegram seperti gesaan Majlis Perbandaran Amsterdam, Amsterdam.

Sebaliknya beliau berkata, sebarang arahan berhubung aspek keselamatan akan dikeluarkan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

"Pada masa sama pihak Kementerian Komunikasi dan juga MCMC akan meneruskan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh dan juga platform media sosial serta sistem pesanan internet.

"Mengenai aspek pelesenan kita percaya dengan proses pelesenan itu semua platform media sosial dan sistem pesanan internet akan akur dengan syarat-syarat yang dikenakan untuk menjamin internet yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu kementerian juga memberi jaminan keselamatan kepada wartawan ketika menjalankan tugas di lapangan.

Fahmi menegaskan pihaknya tidak akan bertolenransi terhadap mana-mana pihak yang mengganggu tugas wartawan terutama melibatkan gangguan seksual.

"Saya nak beri jaminan kepada semua wartawan sekiranya anda menjadi mangsa gangguan seksual, tidak kira lelaki ataupun wanita, sila buat laporan polis dan juga sampaikan maklumat kepada saya.

"Kita akan berusaha untuk pastikan keselamatan para wartawan ini dijamin. Kedua keadilan dapat ditegakkan untuk mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual," katanya lagi.

Fahmi berkata demikian ketika mengulas berkenaan seorang wartawan wanita diganggu ketika bertugas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI