KUALA LUMPUR, 4 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa permohonannya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan bukan bertujuan mencari kekebalan peribadi atau mengelak daripada tindakan undang-undang.
Sebaliknya, beliau menjelaskan ia berkaitan usaha mempertahankan integriti sistem perlembagaan negara serta memastikan kedudukan jawatan awam tertinggi tidak terdedah kepada tindakan litigasi bermotif politik atau yang boleh menggugat kestabilan institusi negara.
“Perkara ini tidak pernah berkisar soal mencari kekebalan peribadi atau mengelak daripada proses undang-undang.
"Ia melibatkan soal integriti sistem perlembagaan negara kita, serta keperluan untuk memastikan kedudukan jawatan awam tertinggi terlindung daripada litigasi yang mungkin dirancang secara strategik, bermotif politik atau mengganggu kestabilan institusi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan komitmennya terhadap keluhuran undang-undang, kebebasan badan kehakiman serta maruah tadbir urus demokrasi.
“Proses undang-undang akan terus berjalan, dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa sebarang gangguan atau kompromi,” katanya.