MARANG, 14 Mac- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan-FAMA Terengganu menjangka pengusaha dan peserta kontrak ladang tembikai di negeri berkenaan mampu menjana pendapatan keseluruhan melebihi RM1 juta.
Ia susulan permintaan yang tinggi terhadap tembikai pada bulan Ramadhan.
Jelas Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan, tiga ladang utama penanaman tembikai iaitu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan-TKPM Serating dan Rhu Tapai, Marang serta Kampung Nyatoh, Setiu dijangka mengeluarkan hasil hampir 800 metrik tan sepanjang bulan Ramadhan ini.
Katanya, sebagai usaha melicinkan lagi pemasaran tembikai di Terengganu, pihaknya menandatangani perjanjian jual beli dengan 19 pengusaha tembikai melibatkan keluasan ladang secara keseluruhan berjumlah 45 hektar.
"Kita akan cuba penuhi permintaan tinggi di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur serta Johor dan Perak.
"Ketika ini, tembikai di pantai barat belum keluar lagi, jadi buah dari pantai timur inilah yang akan dibawa ke pantai barat untuk membantu kekurangan di sana,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli tembikai dengan empat pengusaha melibatkan anggaran hasil 200 metrik tan di TKPM Serating, Marang selain turut menyempurnakan penyerahan peralatan sokongan pasaran bagi peserta ladang kontrak daerah berkenaan.
Sementara itu FAMA menjangkakan harga tembikai jualan ladang di Terengganu mampu mencecah RM2 sekilogram menjelang pertengahan Ramadan ini.
Harga runcit tembikai di pasaran ketika ini adalah antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram.