Permintaan kediaman Johor meningkat, lebihan unit tidak terjual berkurang

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 6 Februari – Kira-kira 10,000 unit kediaman baharu di Johor masih belum terjual atau berstatus lebihan tidak terjual (overhang).

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebihan unit tidak terjual di Johor menurun dari kira-kira 13,000 ke 10,000 unit dalam dua tahun.
  • Permintaan meningkat terutamanya untuk projek berhampiran RTS Johor Bahru–Singapura.
  • Overhang kebanyakannya melibatkan apartmen dan perumahan berskala sederhana bagi pembeli M40.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding kira-kira 13,000 unit dua tahun lalu.

Menurut beliau, permintaan terhadap kediaman kini semakin meningkat terutama bagi projek perumahan yang terletak berhampiran Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

Namun, katanya, kediaman berstatus overhang kebanyakannya melibatkan unit jenis apartmen dan pembangunan berskala sederhana yang menyasarkan pembeli golongan M40.

“Sekarang ini banyak pemaju membina rumah jenis semi apartmen dan perumahan berskala sederhana untuk golongan M40.

“Dahulu kadar lebihan hartanah tinggi, namun kini semakin menurun,” katanya.

“Kawasan seperti Country Garden di Danga Bay yang sebelum ini banyak unit tidak terjual kini menunjukkan peningkatan kadar penghunian termasuk di Forest City,” katanya semasa Majlis Serahan 2,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Bangsa Johor, di Stadium Arena Larkin, di sini.

Program RMMJ merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Johor, khususnya golongan B40 dan M40, pada harga berpatutan.

Kerajaan negeri yakin pembangunan infrastruktur seperti RTS akan merancakkan pertumbuhan ekonomi Johor sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat serta pasaran hartanah negeri itu.