
KUALA LUMPUR, 1 April – Malaysia dijangka berdepan kesan lebih terkawal daripada tekanan ekonomi global berbanding negara serantau, disokong permintaan domestik yang kukuh serta kedudukan negara sebagai pengeluar minyak dan gas asli.
- Pembaharuan dasar berterusan dan pelan pemulihan pasca pandemik menjadi penampan kepada sebarang kejutan luaran.
- Kerajaan, rakyat dan pemain industri perlu bekerjasama dan membuat penyesuaian untuk mengurangkan impak luaran.
- Rakyat disaran berjimat tenaga manakala pengeluar digalakkan menyerap sebahagian kos untuk menstabilkan harga jangka panjang.
- Elakkan kenaikan harga tidak wajar dan pembelian panik; keutamaan kesejahteraan rakyat mesti diimbangi pengurusan fiskal teliti.
Penganalisis Ekonomi Inceif University, Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kesinambungan pelan pemulihan pasca pandemik serta pembaharuan dasar yang berterusan turut menjadi penampan kepada sebarang kejutan luaran, khususnya akibat konflik Asia Barat ketika ini.
“Pujian harus diberikan kepada pembuat dasar yang telah melaksanakan langkah-langkah wajar untuk mengurangkan impak. Kita tidak dapat mengelak daripada impak konflik ini, namun ia lebih terkawal.
”Apa yang lebih penting, usaha menangani impak ini bukan hanya bergantung kepada kerajaan, sebaliknya rakyat dan pemain industri juga perlu membuat penyesuaian tertentu,” katanya ketika dihubungi RTM.
Mengulas lanjut, jelasnya rakyat disaran menyesuaikan gaya hidup dengan penggunaan tenaga yang lebih berhemah, manakala pengeluar disaran menyerap sebahagian peningkatan kos bagi memastikan kestabilan harga dalam jangka panjang.
Pada masa sama, beliau mengingatkan agar tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar kerana ia boleh merencatkan momentum ekonomi.
”Lebih utama, kita perlu pastikan isi rumah terus berbelanja tanpa berlakunya pembelian panik. Jika ini terjadi ia akan menjejaskan ekonomi negara.
”Berbelanjalah seperti biasa tetapi lebih berhemah, dengan mengutamakan keperluan, seterusnya menyumbang kepada pemulihan negara,” katanya lagi.
Dalam situasi mencabar ketika ini kesejahteraan rakyat perlu kekal menjadi keutamaan, namun harus diimbangi dengan pengurusan fiskal yang teliti bagi mengelakkan beban kepada generasi akan datang.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 yang diterbitkan semalam menyatakan, negara berada dalam keadaan ekonomi yang kukuh walaupun berdepan kejutan harga minyak berikutan konflik di Asia Barat.
Pengukuhan itu disokong oleh permintaan dalam domestik yang menggalakkan, inflasi yang sederhana, sektor kewangan dan kedudukan luaran yang berdaya tahan.
Menurut BNM kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga turut memberikan sedikit perlindungan daripada rintangan luaran.