fb fb fb fb fb

Permaisuri Agong titah ganda usaha bantu golongan kurang bernasib baik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Jun- Usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik di negara ini perlu dilipat gandakan ke arah menjadi sebuah masyarakat yang lebih prihatin. Demikian titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ketika berkenan mengadakan lawatan di Hospis Malaysia bersempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Titah Seri Paduka Baginda, rakyat Malaysia perlu memperkasa usaha dalam membantu golongan berkenaan khususnya mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

"Sekiranya kita ingin menjadi masyarakat yang prihatin ke atas semua ahli-ahlinya dan tiada yang terabai, maka kita mesti menyedari bahawa golongan yang kedudukan kewangannya tidak berkemampuan untuk meringankan kesakitan yang dilalui oleh ahli keluarga mereka perlu bantuan dan sokongan daripada kita.

"Sempena bulan Zulhijjah yang penuh barakah ini, mungkin inilah waktu yang afdal untuk kita mempergiatkan usaha yang lebih kuat lagi bagi menunjukkan keprihatinan bagi mereka yang memerlukan untuk mendapatkan bantuan," titah Raja Permaisuri Agong.

Lawatan Seri Paduka Baginda diiringi isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisma Awang Sauni.

Dalam lawatan sama, Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyampaikan sumbangan berupa cek bernilai RM30,000 sebagai tanda sokongan kepada peranan Hospis Malaysia dalam memberikan rawatan kepada pesakit paliatif.

Seri Paduka Baginda kemudian turut berkenan meluangkan masa hampir sejam bersama pesakit paliatif kanak-kanak dan dewasa sebelum mengadakan melawat beberapa reruai rawatan dan penjagaan penyakit berkenaan sebelum berangkat pulang.

SITI NOORAIN ABDULLAH